Impian pelumba BMX negara, Siti Shahirah Hashim, untuk mencabar Sukan Asia Indonesia tidak kesampaian apabila jawatankuasa pemilihan memberi tiket kepada pelumba lain walaupun dia berjaya mencipta sejarah meraih pingat gangsa Kejohanan Asia di Thailand, bulan lalu.

Bagaimananpun, Siti Shahirah yang meraih gangsa kategori remaja wanita dilihat masih mempunyai masa dan potensi yang perlu digilap untuk menyertai temasya sukan akan datang.

Tiket Sukan Asia itu diberikan kepada pemenang gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Noor Quraataina Mamat.

Namun, Siti Shahirah tetap bersikap positif kerana yakin dengan keputusan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan panel pemilihan.

"Kejayaan ini (Kejohanan Asia) sangat bermakna buat diri saya kerana ia adalah cita-cita saya tahun ini untuk menaiki podium di peringkat Asia.

"Misi saya adalah untuk menjadi juara dan tempat ketiga yang hanya mampu saya lakukan. Saya berharap pasukan BMX ada dalam program kebangsaan selepas ini," katanya.

Malaysia dianggap bukan pilihan dalam acara BMX untuk mencabar negara-negara di benua Asia.

Temasya di Incheon, Korea Selatan pada 2014 menyaksikan pelumba Filipina meraih emas acara lelaki sementara Thailand menjuarai saingan wanita.