Pesilat wanita negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir, lega kecederaan patah lengan kiri sejak November tahun lalu tidak memberi kesan buruk kepada aksinya selepas kembali ke gelanggang bermula bulan lalu.

Semestinya dia kecewa apabila disahkan patah lengan kiri ketika beraksi dalam Terbuka Belanda pada November tahun lalu dan terpaksa berehat selama lima bulan.

Kejohanan pertamanya tahun ini adalah Terbuka Belgium, di mana Siti Rahmah nyata berpuas hati selepas dapat beraksi seperti biasa tanpa rasa sakit.

Meskipun tewas, dia tetap bersyukur apabila diberi peluang kembali mendapatkan rentak pertarungan di gelanggang walaupun kekuatan di bahagian lengan turut memainkan peranan.

"Alhamdulillah, tiada rasa takut-takut dan ia berjalan baik. Mungkin saya melalui pemulihan yang betul di ISN (Institut Sukan Negara).

"Masa proses pemulihan itu, saya ada berlatih sedikit, tidaklah tinggal sepenuhnya. Tetapi apabila masuk ke gelanggang dan berlawan, saya tidak sangat berasa gementar," ujarnya.

Pingat emas Sukan Asia Indonesia pada Ogos nanti menjadi sasaran utama juara dunia 2016 itu, di mana ia akan menjadi aksi terakhirnya sebagai pesilat negara sebelum mengambil keputusan untuk bersara.

"Yalah. Apa yang kita rancang, Allah yang tentukan. Jadi, itu rancangan saya. Kalau sasaran saya dapat direalisasikan, Insya-Allah itu (kejohanan) yang terakhir. Kalau tidak, kita tengok nanti bagaimana," katanya lagi.