Kejayaan yang dilakar sepanjang 2017 terus melonjakkan semangat atlet boling tenpin berpengalaman wanita negara, Shalin Zulkifli, untuk menghadapi Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan.

Pencapaian yang dirakam tahun lalu mungkin antara yang terbaik dalam karier Shalin, bermula dengan temasya KL2017 yang menyaksikan dia meraih tiga emas dalam saingan trio, berpasukan dan juga masters.

Selain itu, Shalin juga merupakan sebahagian daripada skuad wanita negara yang bergelar juara dalam Kejohanan Dunia yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat.

"Kami perlu seimbangkan corak latihan. Sebagai contoh, di gelanggang dan di gimnasium.

"Kami perlu mendapatkan rehat yang cukup serta kejohanan tertinggi yang secukupnya agar prestasi kekal di tahap yang baik," kata pemenang 20 pingat emas Sukan SEA itu sejak membuat penampilan pertama dalam temasya itu pada 1993.

Berdasarkan prestasi semasa, Shalin percaya dia mampu mengekalkan rentak untuk mempersiapkan diri menghadapi temasya Sukan Asia yang menjadi tugasan utama tahun ini.

Secara keseluruhan, Shalin turut berpandangan skuad wanita negara mampu terus memberi cabaran hebat di peringkat tertinggi.

Di samping atlet senior seperti Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Esther Cheah dan Si Li Jane, Malaysia juga mempunyai Syaidatul Afifah Badrul Hamidi serta Natasha Roslan yang dapat meneruskan kesinambungan kejayaan mereka.

"Kami bersyukur kerana kami telah mencapai matlamat yang ditetapkan, iaitu meraih sebanyak mungkin pingat emas dalam Sukan SEA dan Kejohanan Dunia.

"Ia merupakan sasaran yang ditetapkan sejak awal tahun lalu yang menjadi dorongan untuk kami bekerja keras," katanya lagi.