Pasangan adik-beradik, Muhammad Taqiuddin dan Aina Azrin Mohd Zulkifli, bakal mengetuai skuad mendaki negara seramai tujuh orang selepas proses pemilihan terakhir menjelang Sukan Asia Indonesia 2018.

Skuad mendaki dibarisi pendaki muda untuk mencabar Sukan Asia yang mempertandingkan acara itu buat kali pertama.

Kehadiran pasangan adik-beradik berkenaan mencuri tumpuan walaupun Malaysia hadir sebagai 'underdog'.

"Bertindak selaku ketua pasukan bukan mudah.

"Saya perlu menjalin komunikasi yang baik di antara jurulatih, pengurus dan atlet dengan lancar.

"Saya perlu memastikan masing-masing dalam keadaan terbaik semasa sesi latihan," kata Taqiuddin.

Rakan sepasukannya, Roslan Rasli, pula enggan menjadikan faktor persiapan yang singkat sebagai alasan untuk mereka tidak menyerlah dengan berkata: "Daripada segi masa, kami berdepan sedikit kesukaran dan saya akan berusaha untuk mendapatkan prestasi terbaik."

Meskipun skuad mendaki negara tidak memiliki reputasi besar untuk menghadapi jaguh Asia Barat dan wakil tuan rumah, penampilan di Indonesia tetap penting sebagai persiapan mereka memburu tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020.