Jurulatih pecut negara, M. Balamurugan, menyerahkan status skuad 4x100m wanita negara yang berpeluang ke Sukan Asia Indonesia, Ogos depan, kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas S. Komalam Shally dan Siti Fatimah Mohamad mempamerkan aksi meyakinkan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia minggu lalu.

Aksi cemerlang kuartet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu yang turut dibarisi Zaidatul Husniah Zulkifli di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu, mengundang persoalan mengenai peluang mereka digabungkan semula.

Malah, berdasarkan keputusan 100m dan 200m, Komalam dan Fatimah diletakkan selaku pelari kedua dan ketiga terbaik negara ketika ini sekalipun kuasa memilih dipegang KOM.

"Keputusan itu bergantung kepada KOM dan MSN (Majlis Sukan Negara). Saya sebagai jurulatih hanya terima arahan. Apa-apa keputusan, kami akan tunggu daripada KOM ataupun MSN," katanya.

Komalam dan Fatimah digugurkan daripada skuad negara seminggu sebelum Sukan SEA tahun lalu ekoran masalah disiplin.

Walaupun masih belum ada kepastian berhubung statusnya ke Sukan Asia, Fatimah tetap dengan pendirian untuk menepati catatan merit, iaitu 11.7 saat.

Berasakan dirinya masih releven untuk mengisi kuartet wanita, Fatimah menganggap pilihan tiga terbaik yang dimiliki negara setakat ini tetap memihak kepadanya dan juga Komalam.

"Saya akan memberi tekanan untuk slot individu tetapi skuad kuartet bergantung kepada persatuan dan prestasi dalam acara individu. Saya tidak boleh berlari perlahan kerana Sukan Asia adalah temasya tahap tinggi," kata Fatimah.

Pembentukan kuartet itu nyata tidak semudah yang disangka. Di luar trek, Zaidatul mengesahkan ada situasi kurang senang di antara dia dan beberapa individu lain yang berada dalam senarai KOM itu.

Ia susulan Zaidatul menerima beberapa pautan muatan laman sosial peribadi milik Komalam yang dipercayai lantang mengkritiknya berkenaan beberapa isu.

Zaidatul sudah melepasi had kelayakan 100m dan 200m Sukan Asia, namun masih lagi berpeluang menambah acara 4x100m.

"Kawan-kawan pun ada hantar imej skrin perbualan yang mengatakan saya mementingkan diri sendiri. Saya agak terkejut tentang perkara itu.

"Saya akan memberitahu jurulatih atau pegawai bahawa saya tidak akan berlari lagi untuk 4x100m. Sekarang ini, saya hanya mengikut jurulatih saya dan fokus untuk berlatih bersungguh-sungguh.

"Keutamaan saya adalah Sukan Asia. Saya tidak mahu perkara sebegitu boleh menjatuhkan saya," kata Zaidatul.

Rekod kebangsaan 4x100m wanita
Kejohanan: Kejohanan Asia 2017
Catatan : 45.18s

Atlet
• Zaidatul Husniah Zulkifli
• S. Komalam Shally
• Nurul Faizah Asma
• Siti Fatimah Mohamad