Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) tidak menolak kemungkinan merombak barisan pemanah compound sempena menghadapi Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

NAAM menghantar gandingan pemanah utama dan pelapis bagi menghadapi Kejohanan Jemputan Pra-Sukan Asia di Indonesia minggu lalu.

Persembahan baik dipamerkan oleh mereka apabila memperolehi satu pingat emas, satu perak serta dua gangsa.

Setiausaha Agung NAAM, Datuk Abd Hamid Hassan, menjelaskan aksi mereka di Jakarta menyuntik keyakinan tersendiri terhadap skuad compound bahawa masih ada wakil yang mampu memberi tentangan.

"Alhamdulillah, kami melahirkan atlet-atlet pelapis dan mereka menyerlah dalam kejohanan tersebut.

"Untuk jangka panjang, kami tidak mempunyai masalah untuk melahirkan pemanah compound," katanya.

Sementara itu, Abd Hamid melihat pencapaian yang diraih atlet memanah negara dalam Kejohanan Pra-Sukan Asia itu sebagai menepati jangkaan selepas ia tidak disertai beberapa negara utama.

Jelasnya, ini memberi keyakinan buat pemanah negara selain dapat melihat sendiri suasana di venue pertandingan.

"Pencapaian itu menepati ramalan kami kerana cuma sembilan negara yang mengambil bahagian.

"Bagaimanapun, kami telah meraih pencapaian yang baik sebagai kayu pengukur untuk menghadapi Sukan Asia yang akan datang," tambahnya.