Pembantu jurulatih skuad ragbi 7's negara, Nazeer Nesharah, berharap agar pemain yang mewakili Malaysia ke saingan Sukan Asia Indonesia nanti dapat membuktikan pemburuan pingat bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

Di sebalik penyertaan kategori B ke Sukan Asia kali ini, harapan tinggi disandarkan kepada skuad ragbi negara untuk memperbaiki pencapaian empat tahun lalu di Incheon, di mana ketika itu mereka meraih kedudukan kesembilan.

Saingan di Jakarta kali ini menyaksikan mereka diundi sekumpulan dengan Jepun, Taiwan dan Indonesia, sekali gus memberi bayangan awal tempat ke suku akhir mampu dicapai.

"Setakat ini, persembahan pemain dilihat agak bersedia dan bersaing untuk mendapatkan tempat. Kami akan membawa 12 pemain sahaja dan rata-rata mereka memberikan komitmen serta peningkatan yang baik," katanya.

Sementara itu, skuad negara tidak berdepan kesukaran untuk menjuarai pertandingan Perlis Sevens, semalam apabila menewaskan ABI JOB Warriors dalam final.

Selepas ini, mereka akan menyertai saingan Kuching Sevens pada hujung minggu ini, sebelum memberi tumpuan kepada Kejohanan Jemputan Sapporo Sevens di Jepun, awal bulan depan.

Dalam masa sama, kapten skuad negara, Zulkiflee Azmi, percaya kombinasi yang lebih baik dapat ditampilkan dalam Sukan Asia kali ini bagi mengatasi kekecewaan di Incheon.

"Kali ini persiapan adalah antara yang terbaik. Kami telah bersama dalam tempoh yang lama.

"Empat tahun kami menunggu dan sasaran yang tinggi harus ditetapkan untuk dicapai," ujar Zulkiflee.