Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, menetapkan misi untuk menjuarai salah satu daripada dua kejohanan pemanas badan bagi meningkatkan keyakinan menaiki podium dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Keyakinan pelumba itu semakin meningkat selepas dia mencipta kejutan dengan menewaskan beberapa pelumba pilihan dalam Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, April lalu.

Justeru, pelumba kelahiran Johor itu sedang mempersiapkan diri dengan program latihan khas di Melbourne, Australia untuk meningkatkan kekuatan bagi meneruskan momentum di Indonesia.

Malah, dia menetapkan sasaran untuk menjuarai salah satu daripada dua kejohanan pemanas badan, sama ada dalam acara keirin atau pecut yang turut disertai jaguh utama negara, Azizulhasni Awang.

"Setakat ini, latihan tiada masalah. Jurulatih fokuskan kepada kekuatan kami. Jadi, ketika kayuhan sudah boleh nampak peningkatan.

"Sebelum Sukan Asia, kami ada dua kejohanan, iaitu Kejohanan Kebangsaan dan grand prix. Di situ adalah tempat untuk kami mendapatkan mata untuk ke Piala Dunia. Jadi, diharapkan kami dapat beraksi baik dan semua berjalan lancar," kata Muhammad Shah.

Skuad trek negara berdepan tekanan selepas gagal meraih sebarang pingat di Gold Coast.

Malah, ada desakan agar pelumba trek negara digugurkan daripada Program Podium jika gagal meraih pingat di Indonesia nanti.