Kecederaan belakangnya masih belum pulih tetapi atlet lompat kijang negara, R. Kirthana, kini terpaksa berdepan risiko kecederaan hamstring pula selepas menamatkan acaranya dalam Sukan Insititusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2018, minggu lalu.

Kirthana kini berdepan kecederaan baru sewaktu beraksi dalam acara lompat kijang sebelum pingat emas menjadi miliknya dengan jarak 12.15 meter.

Bagaimanapun, dia terkilan kerana kecederaan itu hadir pada saat dia ingin terbang ke Jakarta bagi menghadapi Kejohanan Pra-Sukan Asia, Jumaat ini.

Atlet berusia 21 tahun itu berharap kecederaan yang dialaminya segera pulih kerana enggan persiapan Sukan Asia 2018 terjejas.

"Kecederaan ini baru sahaja dialami dalam saingan kali ini. Saya berharap ia tidak begitu serius kerana ia mungkin menjejaskan persiapan Sukan Asia," kata Kirthana.

Kirthana, yang sebelum ini dilaporkan berdepan masalah penglihatan, menegaskan dia tetap akan fokus untuk beraksi bagi sukan atlet normal tahun ini dan tidak menolak akan beralih ke sukan para tahun depan sekiranya keadaannya semakin teruk.

"Buat masa ini, saya akan terus berlatih untuk menghadapi kejohanan atlet normal. Jika keadaan semakin teruk, saya akan beralih kepada kejohanan para."