Chef-de-mission (CDM) ke Sukan Asia Indonesia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, mengesahkan penerjun negara, Cheong Jun Hoong, mengalami kecederaan lutut dan berisiko terpaksa menarik diri daripada temasya yang berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

Masalah kecederaan semakin menghimpit kontinjen negara beberapa hari selepas Malaysia kehilangan khidmat jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei, dan terkini, Jun Hoong tidak dapat menyertai kem latihan pusat di China ekoran masalah lutut.

Doktor di Institut Sukan Negara (ISN) sedang memantau perkembangan bekas juara terjun dunia 10m individu platform berkenaan menerusi rawatan dan ujian ke atas kecederaannya.

Justeru, keputusan mengenai status Jun Hoong akan dibuat Khamis ini.

"Saya ingin menekan kepada semua persatuan, pastikan atlet usah ditimpa kecederaan, terutama kepada atlet yang merupakan prospek menyumbang medal.

"Sekiranya ditimpa kecederaan, maka (segala usaha atau peluang) habis begitu sahajalah.

"Saya harap laporan yang diterima pada Khamis ini memihak kepadanya," tambahnya..

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping, Datuk Dr SS Cheema, berkata: "Sesetengah jenis kecederaan, proses pemulihannya berjalan lancar.

"Ia bergantung kepada tahap kecederaannya. Jika tidak serius, Jun Hoong boleh beraksi."