Legenda berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan, meminta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mempertimbangkan semula kedudukan ratu trek, Fatehah Mustapa, dan menggunakan peluang merayu kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Ketiadaan Fatehah dijangka menjejaskan keyakinan pelumba wanita negara.

Ini kerana Farina Shawati Mohd Adnan, Anis Amira Rosidi dan Jupha Somnet belum cukup berpengalaman untuk memburu pingat dalam Sukan Asia.

Malah, Fatehah sepatutnya memperbaiki catatan pingat perak acara keirin Sukan Asia Incheon, empat tahun lalu.

"Atlet junior memerlukan atlet berpengalaman untuk memberikan sokongan kepada mereka untuk cemerlang dalam Sukan Asia," kata Joo Ngan.

"Kehadiran Fatehah melonjakkan keyakinan pelumba lain."

MOM membuka peluang kepada semua persatuan sukan kebangsaan untuk membuat rayuan sebelum 21 Jun ini.

Setakat ini, olahraga dan renang antara yang sudah menghantar rayuan sementara PKBM masih kekal dengan barisan 17 pelumba.