Sukan Asia: Jonathan perlu berkorban demi kuartet lelaki negara 

Oleh Staff Writer 27 April 2018 4765
Sukan Asia: Jonathan perlu berkorban demi kuartet lelaki negara 
Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas, menegaskan Jonathan Nyepa mungkin berdepan penangguhan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) demi mengutamakan keserasian kuartet 4x100 meter menjelang Sukan Asia, Ogos depan.

Itu pilihan yang bakal dihadapi Jonathan demi memastikan tuntutan keserasian antara kuartet negara menjelang saingan di Jakarta dan Palembang itu dari 18 Ogos hingga 2 September depan. 

Situasi itu sekali gus menepati saranan jurulatih pecut, Mohd Poad Md Kassim, yang mengharapkan program melibatkan kuartet negara menitikberatkan keserasian mereka, bukan sekadar semasa sesi latihan. 

"Kami perlu merangka program agar mereka dapat berlatih bersama-sama. 

"Timbul sedikit masalah ketika ini kerana Jonathan Nyepa sedang menyambung pendidikan di UPM. 

"Sama ada dia terpaksa menangguhkan pelajarannya untuk membolehkan dia berlatih atau satu lagi pilihan, iaitu dia boleh terus berlatih di bawah kendalian jurulatih, M. Balamurugan," kata Zainal.

Penentuan sama ada program latihan kuartet negara bakal dijalankan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil atau Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Bandar Penawar, Johor, belum dimuktamadkan. 

Tambahan pula, program luar mungkin akan diadakan di Jepun sebaik selesai Kejohanan Terbuka Malaysia, bulan depan. 

Justeru, ia menuntut pengorbanan daripada Jonathan sendiri. 

"Institut Sukan Negara (ISN) mendapat tawaran daripada Majlis Olimpik Jepun untuk menggunakan kemudahan sukan di sana. 

"Ini merupakan salah satu pilihan buat barisan jurulatih pecut atau lompatan negara untuk menggunakan peluang yang ada. 

"Apapun, kami akan melihat kesesuaian untuk mereka menyertai kejohanan semasa di Jepun nanti," ujarnya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen