Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong, mengambil keputusan untuk tidak menyertai saingan Terbuka Kuala Lumpur hujung minggu ini selepas menjadi antara tiga nama besar yang digugurkan daripada Sukan Asia Indonesia 2018.

“Ini bukan protes tetapi langkah berjaga-jaga sekiranya keajaiban berlaku,” katanya.

Itu pendirian Jackie menjelang Terbuka Kuala Lumpur di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada hujung minggu ini yang juga menjadi kejohanan pemanas badan terakhir sebelum Sukan Asia.

Dia masih berharap agar Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyenaraikan semula namanya, malah sanggup menanggung sendiri kos demi memenuhi hasrat untuk ke Jakarta.

"Ketika ini, program kami masih mengikuti latihan. Kami tidak menerima sebarang maklumat untuk ke Sukan Asia, jadi hanya meneruskan perancangan terdahulu. Walaupun tidak disenaraikan, saya akan terus berlatih," katanya.

"Apa yang saya minta daripada Jackie adalah usah terlalu memikirkan soal tersebut dan hanya fokus untuk latihan dulu," tambah jurulatih baling tukul besi negara, Gu Yuan.

Selain Jackie, turut digugurkan adalah jaguh 110 meter berpagar, Rayzamshah Wan Sofian, dan Iskandar Alwi (lompat bergalah) atas dasar mereka tiada dalam kelompok 10 ranking terbaik Asia.