Irene Chong merupakan antara empat atlet triatlon yang terpaksa mengeluarkan kos mencecah RM5,000 setiap seorang untuk menyertai Sukan Asia Indonesia 2018 ketika Persatuan Triatlon Malaysia disiasat Pesuruhjaya Sukan ekoran masalah pentadbiran.

Irene menjelaskan bahawa dia meletakkan jangkaan di antara RM3,000 dan RM5,000 sebagai dana yang mampu dikeluarkan sambil sedar dia perlu sentiasa bersedia dengan kewangan tatkala sering diberitahu dengan mana-mana perkembangan pada saat-saat akhir, sebelum ini.

"Saya sentiasa menyimpan wang sendiri untuk memudahkan saya bergerak dan menanggung kos sendiri jika perlu. Kami hanya mahu membuat Malaysia berasa bangga dan menyedarkan semua orang bahawa kami sanggup melakukan apa sahaja," katanya.

Dalam masa sama, dia juga mengharapkan sokongan serta bantuan dapat diberikan buat dia dan rakan-rakan lain pada masa akan datang.

"Saya berharap kami akan menerima sokongan yang diperlukan, bukan sahaja untuk kami tetapi buat generasi akan datang bagi memastikan sukan ini terus berkembang dengan baik," tambahnya.