Jurulatih skuad ragbi 7's negara, Mohd Saizul Hafifi Mohd Nor, melihat undian peringkat kumpulan Sukan Asia Indonesia, bulan depan, memberi sedikit kelebihan dalam memastikan sasaran kedudukan empat terbaik keseluruhan dapat dicapai.

Saingan kali ini menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama pasukan pilihan, Jepun, di samping Taiwan dan Indonesia.

Lantas, Saizul meletakkan misi wajib menang ke atas Taiwan serta Indonesia di samping cuba memberi tentangan hebat kepada Jepun.

Menurutnya, berdasarkan undian itu, Malaysia dijangka tidak berdepan kesukaran untuk menempatkan diri dalam suku akhir, sekali gus memperbaiki pencapaian empat tahun lalu di Incheon, iaitu kedudukan kesembilan.

"Saya rasa ia adalah undian yang adil kerana hanya Jepun satu-satunya pasukan yang berada di ranking lebih tinggi daripada kita.

"Indonesia dan Taiwan berada di bawah kita. Sasaran kami adalah memenangi dua perlawanan untuk kami mara ke suku akhir. Ia adalah peluang cerah berdasarkan kedudukan semasa," katanya.

Dalam pada itu, Saizul menjangkakan Jepun dan Taiwan tidak akan "simpan kuku" apabila berdepan mereka dalam Kejohanan Jemputan Sapporo Sevens, awal bulan depan.

Dia turut mengharapkan satu lagi kem latihan luar negara dapat diadakan selepas kunjungan ke Jepun itu nanti, dengan Sri Lanka atau Hong Kong menjadi lokasi pilihan.

"Saya sudah berbincang dengan persatuan untuk kami mengadakan jelajah sebelum ke Sukan Asia. Dalam jelajah nanti, saya mencadangkan untuk pergi ke Sri Lanka atau Hong Kong.

"Ia bagi mendapatkan perlawanan tahap tinggi, sama seperti dalam Sukan Asia nanti," katanya lagi.