"Acara berpasukan campuran perlu keserasian," itu yang harus dilakukan penembak negara, Ezuan Nasir Khan, bagi membiasakan diri dengan acara tersebut yang kali pertama dipertandingkan dalam Sukan Asia Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

Kali terakhir Ezuan beraksi bagi acara berpasukan campuran adalah dalam Piala Dunia di New Delhi pada Februari tahun lalu bersama gandingannya, Shahera Rahim Raja.

Tahun ini, acara itu akan dipertandingkan dalam Sukan Asia, di mana setiap penembak perlu membentuk keserasian bersama pasangan kerana sukan itu mementingkan fokus yang lebih tinggi bagi membidik mata terbaik.

Apatah lagi, katanya, dia masih belum pasti mengenai pemilihan yang akan dilakukan oleh jurulatih dan persediaan awal perlu dilakukan dengan mana-mana pasangan.

"Ini kali pertama Sukan Asia mempertandingkan acara campuran tetapi dalam Piala Dunia sudah dimulakan sejak tahun lalu. Kami memerlukan keserasian yang lebih baik," kata penembak rifle lelaki negara itu.

Tambahnya, sesi latihan pada Ramadan ini akan dipendekkan, seawal dari jam 8 pagi sehingga 2 petang bergantung kepada perancangan jurulatih.

Bagaimanapun, cabaran berpuasa tahun ini tidaklah sehebat tahun lalu, di mana ketika itu mereka berada di Korea Selatan selama sebulan bagi persiapan ke Sukan SEA 2017.

"Kami akan teruskan program latihan dalam bulan puasa ini. Cuma kami akan kurangkan tempoh. Daripada dua sesi kepada satu sesi sahaja, iaitu pada sebelah pagi. Tetapi program gimnasium diteruskan seperti biasa," katanya lagi.