Persatuan Badminton Malaysia (BAM) nekad tidak menghantar atlet di bawah kategori B ke Sukan Asia Indonesia 2018 bagi menjamin kualiti atlet yang bertanding.

BAM diperuntukkan 14 tiket kategori A dan enam tiket di bawah kategori B yang memerlukan badan induk itu membiayai perbelanjaan terlebih dahulu.

BAM akan mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk enam tiket kategori B itu ditukar kepada kuota kategori A.

Jika rayuan ditolak, enam tiket yang tidak dihantar menurut perancangan BAM akan menjejaskan kedudukan skuad wanita menerusi skuad perseorangan.

"Kita mesti faham, Sukan Asia bukan pertandingan peringkat pembangunan. Tiada istilah eksperimen dengan sekadar menghantar atlet ke sana. Kalau Sukan SEA, ya. Tetapi ini adalah Sukan Asia.

"Oleh sebab itu, kami tahu MOM memilih empat terbaik dalam ranking. Ia bermaksud pemain yang kami hantar, kami harus mendapat peluang podium.

"Kami membuat keputusan itu, bukannya menghantar atlet ke Sukan Asia ketika dia sepatutnya dihantar ke kejohanan lain bagi mendapatkan mata ranking," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, yang juga Presiden MOM.