Ketua jurulatih skuad bola baling lelaki negara, Shamsul Nizam Muhammad Ali, menaruh keyakinan tinggi terhadap keupayaan pasukannya dalam misi mara lebih jauh dalam Sukan Asia 2018 di Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

Ini merupakan kali pertama Malaysia menghantar wakil dalam acara bola baling sejak ia mula dipertandingkan pada 1982 di New Delhi untuk saingan lelaki manakala kategori wanita diperkenalkan dalam edisi Beijing 1990.

Undian peringkat kumpulan menyaksikan skuad lelaki negara berada dalam Kumpulan A bersama-sama juara Asia, Qatar, serta Iran.

Dalam masa sama, saingan wanita menempatkan Malaysia bersama tuan rumah, Indonesia, Jepun, Hong Kong serta Thailand.

"Kami telah mengkaji rakaman perlawanan, termasuk di Youtube, mengenai kekuatan pasukan dalam Sukan Asia, lebih-lebih lagi melibatkan pasukan yang akan kami temui dalam pusingan awal, iaitu Qatar dan Iran.

"Dua hari lepas, pasukan Iran telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab JJ Boys di Shah Alam.

"Kami mengambil kesempatan itu untuk membuat penilaian awal terhadap Iran," kata Shamsul Nizam.

Skuad bola baling lelaki dan wanita negara di samping pasukan perubatan Majlis Sukan Negara (MSN) merupakan kumpulan pertama daripada kontinjen Malaysia yang tiba di Jakarta hari ini.

Menyertai Sukan Asia dengan tiket kategori B, Shamsul Nizam menganggap ini pendedahan terbaik buat skuad negara, khususnya dalam menilai sejauh mana kemampuan mereka di benua Asia.

"Apa yang diterapkan dalam latihan, kami cuba memaksimumkan kemampuan pemain serta mengurangkan kesilapan sekecil yang boleh.

"Kami cuba mendapatkan banyak gol selain meminimumkan kekuatan lawan," katanya lagi.