Kecederaan menimpa dua rakan sepasukan tidak melunturkan keyakinan jaguh trek negara, Azizulhasni Awang, dalam pemburuan pingat emas acara pecut berpasukan Sukan Asia Indonesia 2018 selepas mendominasi siri kedua Kejohanan Piala Trek di China, minggu lalu.

Azizul melaungkan amaran awal apabila menjuarai acara keirin dan pecut di China. Kejayaan itu seterusnya meningkatkan keyakinannya untuk merampas emas Sukan Asia selepas kali terakhir melakukannya pada 2010.

Kepulangan Azizul ke tanah air turut diringi Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadil Zonis, yang tercedera selepas mengalami kemalangan ketika beraksi di China sehingga menimbulkan persoalan mengenai prestasi mereka dalam acara pecut berpasukan.

Shah Firdaus terpaksa akur dengan pingat perak selepas tewas kepada pelumba tuan rumah, Xu Chao, dalam aksi final pecut individu kelmarin dan sehari sebelum itu, dia terjatuh dalam acara final keirin pertama.

"Saya agak bimbang juga dengan (keadaan) Shah Firdaus dan Fadil yang ditimpa kemalangan semasa menyertai acara keirin di China.

"Lalu kami memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai perlumbaan keirin pada hari terakhir.

"Tetapi, saya harap mereka segera sembuh," kata Azizul.

Shah Firdaus pula tetap berpuas hati dengan pengorbanannya menanggung kesakitan untuk merakamkan kemenangan dengan berkata: "Kami tetap berjaya berjuang untuk emas.

"Dalam perlumbaan hari terakhir, saya sudah tidak dapat menanggung lagi kesakitan tetapi sebelum itu, saya berjaya memberi tentangan sengit kepada Xu Chao.

"Apapun, saya berpuas hati dengan tahap persembahan."

Dalam kejohanan tersebut, Malaysia merakamkan dua emas, satu perak dan dua gangsa, kesemuanya menerusi pelumba lelaki.

Skuad negara akan berlatih di tanah air sebelum berlepas ke Jakarta, 19 Ogos nanti.

"Mereka baru sahaja mengembalikan semula prestasi.

"Mereka telah mengharungi latihan keras dalam usaha memantapkan (prestasi) mereka.

"Kini, kekuatan mereka telah kembali dan kami (barisan kejurulatihan) tidak perlu lagi memberi tekanan besar kepada mereka sambil membiarkan mereka bertenang sedikit.

"Mereka hanya perlu mendapatkan sedikit sentuhan lagi dan fokus kepada aspek kepantasan agar mereka bertambah laju," kata jurulatih negara, John Beasley.