Juara dan pemegang rekod baling tukul besi Sukan SEA, Jackie Wong, adalah antara tiga atlet olahraga yang digugurkan daripada Sukan Asia Indonesia 2018 ekoran gagal berada dalam ranking 10 terbaik benua ini.

Selain Jackie, pemegang rekod kebangsaan acara 110 meter lari berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian, serta atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi, juga hampir pasti diketepikan.

Mengulas mengenai langkah itu, ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas, mempunyai sebab kukuh.

"Sukan olahraga sangat jelas. Kami sudah menetapkan had kelayakan, catatan masa mahupun jarak terhadap atlet sekiranya ingin layak dalam kategori A.

"Jika tersenarai dalam kategori tersebut, mereka pasti akan layak menyertai Sukan Asia, sebaliknya dalam kategori B pula, ia bergantung kepada persatuan yang perlu mengeluarkan dana sendiri.

"Buat masa ini, saya percaya Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, sedang berusaha mendapatkan bantuan daripada Persatuan Olahraga Asia.

"Ini kerana ketiga-tiga atlet terbabit masih berada dalam senarai panjang, cuma tinggal lagi kami perlu melakukan proses pendaftaran sahaja," kata Zainal.

Dengan kurang tiga minggu lagi temasya Jakarta-Palembang 2018 bakal membuka tirai, Zainal menegaskan ketiga-tiga atlet berkenaan sudah pun diberi peluang.

"Kita perlu realistik, Rayzam telah diberi peluang berlatih di Jerman dalam usaha meningkatkan peluang untuk layak dalam kategori A tetapi ia tidak berlaku.

"Begitu juga dengan Jackie yang dihantar ke Korea Selatan tetapi tidak berjaya.

"Mereka kini berada dalam kelompok di antara yang ke-10 hingga 12," tambahnya.

Sementara itu, sasaran sebenar Malaysia sama ada menetapkan sasaran mengatasi pencapaian sembilan emas dalam temasya Guangzhou 2010 atau sekadar lima dalam Incheon 2014 akan diumumkan pada 10 Ogos ini.

Di bawah peruntukan Program Podium, Malaysia perlu menamatkan kempen dalam kelompok 10 terbaik demi memastikan penampilan dalam temasya Jakarta-Palembang 2018 dianggap sebagai kejayaan.

"Kami akan mengadakan majlis penyerahan bendera secara rasmi bersama Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, pada 10 Ogos nanti.

"Ia adalah platform terbaik untuk kami membentangkan perancangan," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.