Sukan Asia 2018: Zylane masih bergelut dengan kecederaan bahu 

Oleh Staff Writer 11 Mei 2018 1373
Sukan Asia 2018: Zylane masih bergelut dengan kecederaan bahu 
Atlet renang seirama negara, Zylane Lee Yhing Huey, diberi tempoh sebulan untuk memutuskan sama ada dia bakal beraksi dalam Sukan Asia 2018 di Indonesia atau sebaliknya disebabkan kecederaan bahu kanan yang kian serius.

Zylane perlu memastikan tahap kecergasannya di tahap terbaik bagi membuktikan dia mampu beraksi di pentas Sukan Asia dalam tempoh sebulan ini memandangkan kecederaan bahu kanan kembali menghantuinya. 

Dia baru sahaja menjalani pembedahan pada Januari lalu tetapi kesakitan tetap dirasai ketika sesi latihan dan dinasihatkan untuk menjalani pembedahan kedua.

Namun, pembedahan hanya dapat dibuat sekiranya dia tidak menyertai temasya itu pada Ogos depan demi memberi fokus kepada proses pemulihan sepenuhnya.

"Selepas menjalani ujian imbasan, doktor mendapati saya ditimpa kecederaan lebih teruk. 

"Doktor menasihati selaku atlet renang seirama, saya perlu menjalani pembedahan kerana tahap kecederaan tahap kedua ini adalah kronik bagi atlet. 

"Ahli fisioterapi pasukan turut membantu saya menjalani pemulihan, begitupun pergerakan saya masih terbatas," ujarnya.

Jurulatihnya, Long Yan, percaya anak buahnya itu mampu beraksi tetapi enggan meletakkan sebarang risiko.

Tempoh masa sebulan cukup untuknya memantau keadaan pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu terlebih dahulu.

"Dia kembali ditimpa kecederaan, namun saya lega dia dapat kembali (menjalani latihan).

"Saya tidak akan mendesaknya," ujar Long Yan. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen