Skuad skuasy negara menyasarkan tiga pingat dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang, termasuk satu emas yang masih dipertanggungjawab kepada individu sama dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

Tidak lain, individu yang menjadi taruhan utama Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) adalah ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, yang juga merupakan juara sejak edisi 2006.

Nicol yang mengalami kemerosotan prestasi tetap berdepan cabaran sukar daripada Hong Kong yang bakal diketuai Annie Au dan taruhan utama India, Joshna Chinappa.

"Kalau Nicol mahukan sesuatu, dia pasti berusaha mendapatkannya.

"Itu yang dibuktikannya sebelum ini. Kami sudah berbincang mengenai apa yang kami harapkan dan menjangkakan apa yang perlu dilakukan.

"Dia memberi jaminan kepada kami semua terhadap persiapannya dalam memastikan kita memenangi pingat emas," kata Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam.

SRAM diberi peruntukan kategori A bagi lapan atlet -- empat lelaki dan empat wanita -- dalam Sukan Asia kali ini daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Tekanan untuk menghadirkan tambahan dua pingat itu akan disandarkan kepada acara berpasukan lelaki dan wanita.

Sukan Asia 2014 di Busan, Korea Selatan, menyaksikan skuad lelaki tewas dalam final sementara wanita akan turun sebagai penyandang pingat emas.

"Jika kami mendapati ada pemain yang beraksi cemerlang sementara ada pula yang gagal tampil seperti yang diharapkan, mereka mungkin dipilih atau berdepan pengguguran.

"Kami akan terus memantau perkembangan mereka dan akan menilai mereka semasa Kejohanan Kebangsaan awal bulan depan, disusuli Kejohanan Terbuka Malaysia (17 Julai)," katanya.