Sukan Asia 2018: Rayzam Shah diseru baiki catatan di Jerman

Oleh Staff Writer 5 Jun 2018 713
 Sukan Asia 2018: Rayzam Shah diseru baiki catatan di Jerman
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menuntut pelari 110 meter berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, agar mengatasi catatan 13.67 saat dalam dua kejohanan terdekat di Jerman sekiranya ingin layak menerusi kategori A ke Sukan Asia 2018 dari 18 Ogos hingga 2 September depan. 

Tujuh atlet olahraga tersenarai dalam kategori A, namun tidak termasuk Rayzam Shah yang berada dalam kategori B bersama lapan atlet lain. 

Hanya perbezaan 0.01 saat dengan catatan masa 13.66 saat oleh Genta Masuno dari Jepun yang meraih tempat keempat dalam Sukan Asia 2014 meletakkan Rayzam Shah dalam kategori B yang memiliki catatan terbaik 13.67 saat yang juga merupakan rekod kebangsaan yang dilakar dalam Kejohanan Kurpfalz Gala di Jerman pada Mei tahun lalu.

Justeru, dua kejohanan di Jerman minggu depan menjadi harapan terakhir Rayzam Shah untuk layak dalam kategori A ke Sukan Asia Jakarta-Palembang.

"Walaupun jurang hanya 0.01s, ia tetap tempat keempat. 

"Begitupun, kami mengharapkan MOM agar lebih fleksibel untuk menyenaraikan Rayzam berdasarkan pencapaiannya. Di samping itu, Rayzam perlu terus berusaha. 

"Saya telah menghubunginya semalam untuk memberitahu situasi ini," kata ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abbas. 

Tiga atlet Program Podium, Muhammad Irfan Shamsuddin, Muhammad Hakimi Ismail dan Nauraj Singh kekal dalam kategori A. 

Melihat kepada pemilihan atlet yang ditetapkan, Zainal tidak menolak salah seorang daripada tiga atlet berkenaan mampu menamatkan kemarau pingat Sukan Asia sejak 2006 yang dilakar menerusi Roslinda Samsu dalam acara lompat bergalah dan pelari 400m berpagar, Noraseela Khalid. 

"Harapan terbaik Malaysia adalah menerusi Irfan, itupun kalau ketiga-tiga lemparannya tidak dibatalkan seperti yang berlaku dalam Sukan Komanwel Gold Coast.

"Kalau kesemua lemparannya tidak dibatalkan, maka dia berpeluang memenangi pingat berdasarkan kedudukan ketiganya dalam ranking Asia," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen