Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Datuk Megat Zulkarnain Omardin diumumkan sebagai timbalan chef-de-mission (CDM) Malaysia ke Sukan Asia 2018 pada Mac lalu, bagaimanapun Shapawi menolak tugas itu bulan lepas.

Megat Zulkarnain pula menarik diri pada 22 Mei lalu dan secara tidak langsung dua jawatan timbalan ketua kontinjen Sukan Asia 2018 kini kosong.

Kelmarin, Megat Zulkarnain menyuarakan hasratnya untuk berundur selaku timbalan CDM kerana berasa sukar buatnya membentuk keserasian bersama CDM Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi, selain mahu memberi lebih tumpuan kepada atlet silat memandangkan ia kali pertama sukan itu dipertandingkan dalam temasya ini.

Menurut Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, calon-calon selaku timbalan CDM itu akan dibincangkan dalam mesyuarat lembaga eksekutif badan itu bulan depan dan akan turut mendapatkan pandangan Abdul Azim selaku CDM.

"Saya hormati keputusan Megat Zulkarnain dan dia akan memberi tumpuan penuh dalam memastikan silat mendapat pencapaian tinggi dalam Sukan Asia," kata Nazifuddin.

Nazifuddin juga menjelaskan dua orang yang akan dipilih sebagai timbalan CDM nanti akan terdiri daripada pegawai-pegawai persatuan sukan kebangsaan serta bekas atlet kebangsaan.

Nazifuddin mengakui peranan berkenaan turut penting memandangkan Sukan Asia kali ini akan berlangsung di Jakarta dan Palembang.

"Bila masa kami saling menghubungi untuk duduk berbincang perkara ini? Tidak pernah.

"Berkenaan keserasian, itu kita tidak tahu kerana kami tidak pernah duduk berbincang atau merancang usaha-usaha dalam menangani Sukan Asia," kata Azim ketika dihubungi.