Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memperkenalkan sukan kategori 'C' menjelang mesyuarat pemilihan atlet Sukan Asia Indonesia bermula Isnin depan, dengan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, berkata tinju antara yang berpotensi menghuni kategori itu.

MOM memperkenalkan sukan kategori 'C' untuk memberi peluang kepada sukan yang tidak mendapat banyak pendedahan, antaranya perahu naga, jet ski, bola baling, mendaki dan paling mengejutkan, tinju.

Sukan berkenaan pernah meraih pelbagai kejayaan untuk Malaysia, terutama pingat emas Sukan Komanwel, Sukan SEA, malah ada yang layak ke Sukan Olimpik.

Ia meletakkan tinju antara calon menghuni kategori C.

"Ia merupakan permintaan daripada persatuan sukan ini. Kami memberikan peluang kepada mereka untuk menjelaskan alasan untuk tersenarai ke Sukan Asia," kata Nazifuddin.

Kategori 'A' merupakan sukan yang ditanggung sepenuhnya oleh MOM sementara kos sukan kategori 'B' akan dibayar balik jika mereka meraih pingat.

Sementara itu, bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah, adalah antara enam calon untuk mengisi dua jawatan timbalan chef-de-mission (CDM) ke Sukan Asia Indonesia.