Jurulatih olahraga pecut negara, Mohd Poad Kassim, menerima dengan hati terbuka apabila Khairul Hafiz Jantan sekadar disenaraikan dalam kategori B ke Sukan Asia 2018 dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

Dia berpendapat kegagalan Khairul Hafiz untuk menyerlah dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu, antara alasan mengapa anak buahnya itu diletakkan dalam kategori tersebut.

"Saya tidak terkejut dengan keputusan ini kerana ia berlandaskan pencapaian Khairul Hafiz baru-baru ini.

"Bagaimanapun, saya berharap skuad 4x100 meter lelaki diserapkan dalam kategori A," katanya.

Menjelang temasya pada Ogos depan, jurulatih dari Amerika Syarikat (AS), Dwayne Miller, dijangka hadir untuk memantapkan persiapan skuad pecut negara.

"Insya-Allah, (kehadirannya) boleh mengubah pasukan kita.

"Tetapi dengan jangka masa pendek ini, saya menjangkakan tidak banyak perubahan (boleh ditonjolkan atlet).

"Cuma mungkin ada sesetengah program (yang diadakan) mampu meningkatkan prestasi atlet kita," katanya lagi.