Jaguh wushu negara, Loh Jack Chang, sanggup menangguhkan persaraan untuk mewakili Malaysia buat kali terakhir dalam Sukan Asia Indonesia pada Ogos depan dengan misi menamatkan karier dengan nota gemilang.

Jack Chang sepatutnya bersara tahun lalu. Bagaimanapun, bekas juara dunia itu mengambil keputusan untuk menangguhkan persaraan dalam usaha memburu pingat emas terakhir dalam Sukan Asia.

Justeru, Jack Chang akan menyertai sesi pemilihan skuad wushu dalam perebutan tempat ke Sukan Asia di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, esok.

"Saya akan melangsungkan perkahwinan pada akhir bulan ini dan bakal isterilah yang memberi galakan (untuk kembali merebut tempat dalam Sukan Asia).

"Dia berkata, 'kejayaan dalam Sukan SEA 2017 membuktikan bahawa awak masih mampu dan teruskanlah berjuang. Awak masih sanggup berlatih dan beraksi'.

"Saya menganggap ini sebagai peluang buat saya membuktikan kemampuan," ujar Jack Chang yang bakal membuat penampilan ketiga dalam Sukan Asia selepas Guangzhou 2010 dan Incheon 2014, namun masih gagal meraih emas.

Sebanyak lapan pingat emas ditawarkan dalam wushu Sukan Asia Indonesia.

Empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan, Malaysia meraih satu emas menerusi Tai Cheau Xuen dalam acara nanquan/nandao.