Ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa, tidak akan menyertai kem latihan skuad kebangsaan di Melbourne, Australia, selagi belum tamat Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Namun, dia menafikan wujud masalah dalaman dengan pelumba negara.

Fatehah hanya berlatih di Malaysia sejak tamat Sukan Komanwel Gold Coast, bulan lalu.

Pakar acara keirin dan pecut itu terpaksa merombak program latihan atas dua faktor.

"Saya berbuat demikian berikutan masalah kecederaan pergelangan tangan yang dihadapi selain faktor kesihatan ayah.

"Jadi, saya terpaksa memohon untuk berlatih di Malaysia. Apapun, latihan dan program berjalan seperti di Melbourne juga.

"Mungkin latihan di sini agak berbeza sedikit kerana tanpa rakan-rakan. Tetapi saya perlu kuatkan semangat kerana ini merupakan kejohanan besar (Sukan Asia) dengan sasaran untuk menang.

"Saya harap semuanya berjalan lancar. Saya akan ikuti program yang disediakan oleh (jurulatih) John Beasley," katanya.

Keputusan ini akan menentukan sama ada dia mampu bangkit selepas dikritik ekoran gagal meraih sebarang pingat dalam temasya Gold Coast 2018.

Sebelum ini, Program Podium memberi amaran, atlet yang gagal meraih pingat dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia akan digugurkan daripada program itu.