Misi merampas pingat emas 50 meter rifle prone dalam Sukan Asia 2018 tidak kesampaian buat penembak negara, Ezuan Nasir Khan, apabila Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC) menggugurkan acara itu dalam temasya yang bakal berlangsung pada Ogos ini.

Ezuan mencipta kejutan meraih perak acara 50m rifle prone dalam Sukan Asia Incheon, empat tahun lalu.

Sejak itu, dia banyak memberikan tumpuan kepada acara kegemarannya itu untuk membalas dendam kekalahan di tangan juara Asia, Zhao Shengbao dari China.

Namun, impian itu musnah apabila acara 50m rifle prone tidak dipertandingkan di Indonesia.

"Saya agak kecewa kerana mampu meraih pingat dalam acara tersebut tetapi ia tidak dipertandingkan dalam Sukan Asia dan kini perlu memberikan tumpuan kepada acara 10m air rifle," kata Ezuan.

"Sebelum ini, saya pernah memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 10m dan saya berasakan ia tidak menjadi satu masalah beraksi di Jakarta.

"Saingan agak sengit dipamerkan oleh wakil dari China dan Korea Selatan. Tetapi kehadiran jurulatih baru ini akan sedikit-sebanyak membantu daripada segi persiapan saya," ujarnya.