Atlet memanah recurve negara, Akmal Nor Hasrin, berazam mengekalkan rentak konsisten demi memastikan dia tidak kehilangan tempat dalam Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan.

Ketika ini, lima pemanah recurve lelaki negara bersaing bagi merebut tempat ke Sukan Asia.

Dua daripada slot itu hampir pasti menjadi milik Khairul Anuar Mohamad dan Haziq Kamaruddin yang memenangi pingat perak berpasukan pada edisi 2014 di Incheon, dengan Akmal pula bersaing hebat di samping Muhammad Ikram Joni dan Zarif Syahir Zolkepli.

Skuad recurve negara akan ke Antalya, Turki, minggu ini bagi menghadapi siri kedua saingan Piala Dunia yang bermula Ahad ini.

Siri memanah pertama di Shanghai, China, bulan lalu menyaksikan Akmal menewaskan pemenang emas Sukan Olimpik 2012, Oh Jin-Hyek, dalam pusingan ketiga saingan individu sebelum terkandas di peringkat suku akhir.

"Lima pemanah akan terbabit dalam sesi pemilihan nanti dengan empat pemanah terbaik akan tersenarai dalam Sukan Asia," kata Akmal.

Jika bahagian recurve meneruskan cabaran dalam Piala Dunia, lain pula kisahnya untuk acara compound.

Faktor kos antara punca utama mereka tidak dihantar ke Turki. Malah, ketiadaan jurulatih sepenuh masa sejak berakhirnya Program Kita Juara bagi temasya Sukan SEA 2017 sedikit memberi kesan terhadap persediaan mereka untuk menghadapi Sukan Asia.

"Buat masa ini, atlet hanya akan ditemani jurulatih semasa pertandingan sahaja, selebihnya kami berlatih sendiri.

"Ketika ini, pemanah compound negara terdiri daripada atlet semi-pro dan sepenuh masa.

"Pasukan negara agak mantap dalam acara berpasukan sementara dalam saingan individu pula, Malaysia boleh memberi saingan kepada Korea Selatan dan Taiwan," ujar pemanah compound negara, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazali.