Perubahan pucuk pimpinan negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 9 Mei lalu, kini menyaksikan Malaysia juga bakal mempunyai menteri baru di Kementerian Belia dan Sukan.

Mengulas mengenai perkara itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, mengharapkan kementerian itu terus memberi sokongan, khususnya kepada program-program di bawah persatuannya.

"Kami berharap menteri baru yang bakal menerajui Kementerian Belia dan Sukan -- kalau ia masih ada -- tetap memberi sokongan terhadap program yang dianjurkan pihak kami.

"Saya melihat mekanisme sebelum ini juga memang bagus dan kami berharap ada kesinambungannya," katanya.

Dua calon yang disebut-sebut bakal menerajui kementerian itu adalah sama ada Nik Nazmi Nik Ahmad atau Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Khairy Jamaluddin.