"Nak tarik diri, tarik diri sekarang."

Itu saranan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, kepada pasukan yang berdepan masalah sebelum berlangsungnya saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2019.

Kenyataan Stuart itu harus terarah kepada skuad futsal Perlis yang berdepan masalah tunggakan gaji pemain dan jurulatih.

Ia membabitkan tunggakan selama dua bulan sehingga beberapa pemain futsal berstatus kebangsaan sudah mula melakukan tindakan menyertai pasukan lain.

"Kami lebih gembira jika pasukan-pasukan mengambil keputusan lebih realistik. Jika tidak bersedia, baik tarik diri sekarang dan jangan di tengah jalan.

"Namun, pasukan-pasukan dalam saingan futsal yang telah mendengar taklimat memang dilihat tidak memerlukan kos yang begitu tinggi sehingga memerlukan tindakan menarik diri," katanya.

"Sudah sah ada pemain yang keluar menyertai kelab lain disebabkan masalah yang tidak boleh diselesaikan," tambah ketua jurulatih skuad futsal Perlis, Addie Azwan Zainal.

FAM buat julung kalinya melancarkan liga profesional pertama yang dikenali sebagai MPFL dan walaupun tidak mewujudkan pemain import, saingan itu tetap mempunyai nilai tersendiri menerusi format yang digunakan, iaitu aksi di laman sendiri dan tempat lawan.