Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, menyuarakan rasa kurang senangnya terhadap pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, untuk merebut jawatan presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Khairy mendapat lampu hijau daripada MPM untuk merebut jawatan tertinggi itu menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu pada 29 Jun ini.

Beliau yang bertanding dengan menggunakan tiket Persekutuan Ragbi Berkerusi Roda Malaysia (MWFR), bakal mencabar Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

"Saya pun tidak faham mengapa orang politik suka sangat masuk dalam persatuan sukan.

"Walaupun kami tidak mengalakkan dan tidak bersetuju orang politik terlibat dalam persatuan sukan, kami tidak menghalang mana-mana rakyat Malaysia yang ingin menyertai sama ada sebagai ahli atau dalam pemilihan, termasuklah dalam MPM," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Kejohanan Tenis Remaja Asia di Menara KBS, Putrajaya, hari ini.

Di samping itu, Steven juga berpesan kepada Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) , Datuk Seri Shahidan Kassim, agar "mengukur baju di badan sendiri" sebelum membuat keputusan untuk bertanding merebut jawatan nombor dua dalam Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

"Beliau kena tanya diri sendiri sama ada beliau mampu untuk menanggung bebanan kerja itu dan menjalankannya dengan baik atau tidak.

"Ahli-ahli KOM juga perlu membuat keputusan berdasarkan kesesuaian pemimpin tersebut.

"Kita nak orang yang menerajui persatuan kebangsaan ini daripada orang yang komited," tambahnya.