Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Steven Sim, melaungkan cabaran kepada skuad kriket lelaki dan wanita negara untuk layak ke Piala Dunia 2020 selepas kabinet memberi kelulusan khas buat Persatuan Kriket Malaysia (MCA) untuk kekal di Kinrara Oval.

Kerajaan sudah melaksanakan tugas mereka dan kini tiba giliran pemain tatkala kelulusan khas yang diberikan itu bermakna MCA boleh terus kekal di Kinrara Oval, Puchong walaupun menerima arahan pihak pemaju untuk mengosongkan venue tersebut tahun lalu.

Kini, pemain perlu membuktikan kesungguhan mereka untuk layak Piala Dunia T20 sebagai menghargai usaha kerajaan.

"Pencapaian yang lebih cemerlang daripada MCA dalam semua kejohanan terutamanya Piala Dunia yang bakal dihadapi tahun ini, saya rasa itu akan menjadi satu balasan terbaik yang boleh mereka berikan," kata Steven.

Skuad wanita akan berangkat ke Bangkok, Thailand esok untuk menyertai saingan kelayakan Piala Dunia T20 Zon Asia sementara pasukan lelaki akan menerima kehadiran lima pencabar lain di Kinrara Oval Julai depan.

Steven ditemui sewaktu menyerahkan sijil penghargaan terhadap skuad dodgeball lelaki negara yang mempertahankan gelaran juara dunia kali kedua berturut-turut sementara pasukan wanita muncul naib juara dunia.

"Saya rasa semua pihak tidak boleh bertindak secara individu, sebaliknya bersama dalam membangunkan sukan ini. Pihak persatuan cuma memainkan peranan sokongan," ujar pemangku presiden Persatuan Dodgeball Malaysia, Datuk Radhakrishnan Nair.

Sementara itu, skuad dodgeball lelaki negara berdepan cabaran sukar untuk mengumpul dana bagi mencipta gelaran dunia hatrik.

Mereka terpaksa menjual baju bagi menampung perbelanjaan ke Amerika Syarikat tahun lalu sebelum menewaskan tuan rumah di pentas final.

"Kami melakukan pengumpulan dana dan salah satu cara adalah menjual jersi yang tertera nama kami, jadi ia turut disokong oleh komuniti skuad dodgeball," kata kapten skuad lelaki kebangsaan, Carlos Benjamin Goonting.

"Menjelang aksi Kejohanan Dunia di Mexico pada November depan, kami akan melihat pemain yang bakal dipilih untuk skuad kebangsaan. Ia bergantung kepada kewangan kerana seperti yang dinyatakan Benjamin, ada pemain yang berdepan masalah kesempitan wang. Mungkin kami perlu melakukan perkara sama sekali lagi," tambah kapten skuad wanita negara, Nur Alia Mohamed Azmi.