Kejayaan 2019 memberi keyakinan kepada atlet wushu negara, Chuah Shangyang, untuk menghadapi musim ini, termasuk tugasan penting dalam sesi pemilihan untuk mewakili negara dalam Kejuaraan Wushu Asia, November depan.

Kejohanan Masterships Dunia yang lalu menyaksikan kem negara meraih tiga pingat emas dan tiga pingat perak.

2019 turut menyaksikan kem wushu negara melahirkan beberapa juara dunia, antaranya Shangyang, yang berjaya meraih pingat emas menerusi acara xingyiquan dalam kejohanan berkenaan.

Kejayaan itu menjadikannya lebih yakin dengan keupayaan dirinya untuk menghadapi musim 2020 selepas memiliki pengalaman di pentas dunia.

"Saya kini lebih yakin untuk menghadapi kejohanan memandangkan sudah mempunyai pengalaman dalam pertandingan besar.

"Saya harap dapat mengekalkan persembahan dalam setiap kejohanan ," katanya dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Bagaimanapun, Shangyang tidak mengambil mudah apabila dia harus menghadapi sesi pemilihan kem negara bagi memikat hati jurulatih sebelum terpilih menyertai Kejohanan Wushu Asia.

"Semua atlet perlu mengharungi peringkat pemilihan.

"Kejohanan Asia merupakan saingan terbesar buat kami tahun ini, jadi saya harap dapat berikan persembahan terbaik."



Editor: Shaiful Shamsudin