Sukan Esports bakal memiliki venue latihan sendiri tidak lama lagi dengan Stadium Jalan Raja Muda di Kampung Baru dilihat berpotensi untuk dibangunkan selepas perkara itu disahkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Melihat kepada pertumbuhan menggalakkan daripada Esports tatkala sukan itu bakal dipertandingkan dalam Sukan Asia 2022 dan Sukan Olimpik 2024, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia untuk memberi sokongan sepenuhnya.

Syed Saddiq berkata Esports wajar dilihat sebagai satu cabang sukan baru dalam kalangan generasi muda dan ia perlu diperkasakan.

Justeru, dia sudah ada perancangan untuk menaik taraf Stadium Jalan Raja Muda sebagai tempat khusus kepada perkembangan Esports.

"Stadium Raja Muda menjadi pilihan yang bakal menjadi perhatian. Selepas berbincang dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), mungkin kami akan mewujudkan bandar hiburan digital yang pertama di Jalan Ipoh. Ia sedang diusahakan," katanya.

Syed Saddiq ditemui ketika majlis pelancaran The Kuala Lumpur Major, kejohanan pertama bagi sirkit Dota Pro musim 2018/2019 yang akan berlangsung dari 16 hingga 18 November di Axiata Arena, yang menyaksikan Astro menjadi antara rakan sokongan.

Kejohanan itu akan disertai 16 pasukan profesional antarabangsa bagi merebut wang tunai yang berjumlah USD1 juta.

"Kami mahu menjadi medan untuk Esports berkembang. Kami mahu mengusahakannya secara serius.

"Sebagai contoh, saluran eGG Network," ujar Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay.