Stadium Nasional Bukit Jalil berjaya mengetepikan reputasi gah Stade de France untuk merangkul anugerah stadium terbaik tahunan dalam Kongres Anugerah Stadium Dunia 2018 di Amsterdam, Belanda.

Stadium Nasional Bukit Jalil dinobatkan stadium tahunan terbaik bagi kategori stadium sedia ada.

Ia berbeza dengan stadium yang baru dibina memandangkan venue ikonik ini menjalani proses menaik taraf yang menelan belanja keseluruhan RM1.6 bilion, tahun lalu, termasuk pembangunan Bandar Sukan Kuala Lumpur.

Ini kali pertama Stadium Nasional Bukit Jalil memenangi anugerah selepas menjalani proses menaik taraf menerusi seliaan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

"Sebelum ini kita hanya dicalonkan, iaitu Anugerah Senibina Dunia, tetapi kita tidak menang apa-apa kategori. Kami tetap berasa bangga kerana tercalon.

"Tetapi kali ini keistimewaan, kegembiraan dan kegemilangan begitu berbeza sebab kami menjuarai kategori Stadium Terbaik Tahunan.

"Pihak luar mengiktiraf stadium di Asia, lebih-lebih lagi di Asia Tenggara. Ini menunjukkan stadium kita setaraf dengan stadium mereka atau pun lebih baik kerana kita memenangi anugerah tersebut," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Azman Fahmi Osman.