Sekolah Menengah (SM) St Michael Penampang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang masing-masing muncul juara kejohanan bola baling peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Penampang di SMK Putatan, kelmarin.

SM St Michael mempertahankan kejuaraan dimenangi mereka tahun lalu bagi kategori lelaki bawah 17 tahun selepas menewaskan SMK Bahang 2-1 dalam satu aksi final yang sengit.

Sementara itu, pasukan perempuan bawah 17 tahun SMK Bahang membalas dendam buat pasukan lelaki mereka apabila muncul juara kategori itu selepas menundukkan juara empat tahun berturut-turut, SM St Michael, 3-0.

Sebanyak enam pasukan menyertai kejohanan kali ini, iaitu SM St Michael, SMK Putatan, SMK Tansau, SMK Bahang, SMK Datuk Peter Mojuntin dan SMK Limbanak.

Pegawai Sukan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Penampang, Ting Pick Kieng, ketika berucap dalam penutupan kejohanan itu berkata acara bola baling itu adalah kejohanan yang termasuk dalam kalendar Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) setiap tahun.

Katanya, kejohanan peringkat negeri akan berlangsung di Papar pada 7 hingga 11 Mac depan membabitkan kesemua 24 daerah di Sabah.