Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) sedia menghadapi persaraan jaguh utama, Datuk Nicol David, memandangkan beberapa pemain lebih muda seperti Low Wee Wern dan S. Sivasangari berada di landasan tepat untuk menakluk dunia.

SRAM tidak bimbang untuk menghadapi persaraan Nicol, 36.

Ini kerana badan induk berkenaan sudah membentuk Wee Wern, yang menjuarai lima kejohanan antarabangsa sejak kembali daripada kecederaan lutut, selain Sivasangari selaku pemenang pingat perak Sukan Asia Indonesia tahun lalu.

Cuma, mereka memerlukan masa untuk menghampiri koleksi kejuaraan milik Nicol.

"Kami sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan Nicol.

"SRAM yakin dia akan kembali untuk membantu kami dalam program pembangunan dan yang akan datang.

"Saya tidak pasti adakah dia akan membuka akademi sendiri tetapi ia sesuatu yang tidak menghairankan kerana ramai pihak yang ingin bekerjasama dengannya," kata Presiden SRAM, Nik Razeen Daud.

Nicol memegang rekod pemain paling lama yang menghuni ranking pertama dunia, iaitu selama sembilan tahun sebelum dirampas jaguh Mesir, Reneem El Weleily, pada 2015.

Pemain di ranking ke-21 dunia itu sudah mengecapi kesemua kejuaraan, termasuk lapan kali bergelar juara dunia, selain lima pingat emas Sukan Asia, dua emas Sukan Komanwel dan 81 gelaran kejuaraan Jelajah PSA.