Bekas pemain skuasy lelaki nombor satu negara, Nafiizwan Adnan, perlu segera memutuskan masa depannya sambil tawaran menjadi jurulatih daripada Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) bakal luput hujung bulan ini.

Sebelum mengumumkan persaraannya secara rasmi dalam Kejohanan Skuasy Individu Asia minggu lalu, Nafiizwan mengesahkan sudah menerima tawaran daripada SRAM.

Bagaimanapun, suntingan untuk menjadi jurulatih tidak terhad kepada SRAM sahaja berikutan dia turut dilamar prospek lumayan daripada Amerika Syarikat (AS) dan India.

Meskipun cetek pengalaman untuk membimbing pemain, Nafiizwan menawarkan kudrat sebagai jurulatih yang mampu memainkan peranan dalam gelanggang latihan kompetitif.

"Kami berminat untuk menyerap dia sebagai sebahagian daripada SRAM. Kalau dia bersetuju, ia satu berita yang hebat.

"Kalau tidak, saya mahu mendapatkan jurulatih yang boleh memainkan peranan menentang anak didiknya sendiri.

"Kalau kami gagal melakukan langkah tersebut, maka kami akan menjemput pemain luar untuk mengadakan latihan untuk menguji pemain utama negara dengan lebih kerap," kata Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam.

Begitupun, skuad wanita bakal menerima sentuhan bekas pemain kebangsaan, Delia Arnold, yang menggantung raket pada 2017 untuk berkecimpung dalam bidang kejurulatihan.

"Delia Arnold telah memohon untuk menggalas tugas secara sambilan selama beberapa bulan.

"Kami berminat dengan langkah itu kerana dia seorang pemain yang baik, mempunyai pelbagai idea dan saya berasakan dia akan membentuk kerjasama yang baik dengan barisan muda wanita negara," jelasnya lagi.