Nik Razeen Adam Daud sedia menggalas tugas selaku presiden baru Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan itu esok dengan menumpukan fokus kepada peringkat akar umbi dan persediaan terbaik menjelang Sukan Asia 2018.

AGM SRAM esok bakal menyaksikan Huang Ying How tidak lagi mempertahankan jawatan yang disandang, sebaliknya memberi laluan kepada Nik Razeen selaku timbalan presiden ketika ini.

Sepertimana yang telah dilakukan SRAM demi pembangunan atlet muda sehingga lahirnya pemain seperti S. Sivasangari, Ng Eain Yow dan Aifa Azman, Razeen tidak rela langkah itu terhenti, sebaliknya ingin terus membentuk pemain berkualiti di pentas antarabangsa.

Sebaik berakhirnya Sukan Komanwel Gold Coast bulan lalu, Sukan Asia Indonesia Ogos depan menjadi fokus pertamanya untuk memastikan pencapaian terbaik dicapai pada saat dia bakal menggalas tugas selaku presiden.

"Fokus saya adalah pembangunan di peringkat negeri kerana bakat perlu dicungkil dari situ.

"Kami mahu mencari lebih ramai pemain berbakat di peringkat negeri," kata Nik Razeen.

Memandangkan SRAM diberi taraf lima bintang oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia kerana mengurus pentadbiran dengan berkesan, tiada perubahan besar bakal berlaku dalam AGM sambil mengekalkan individu sama dalam persatuan.

"Tiada persaingan dalam AGM kali ini selain kedudukan Ying How yang memutuskan untuk berundur.

"Hanya jawatan bendahari yang akan diisi oleh muka baru," katanya lagi.