Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (Sport Excel) memperkenalkan empat penaja bagi edisi 2019 yang menyuntik dana berjumlah RM60,000 dalam usaha memperkasakan program atlet muda.

Yayasan yang ditubuhkan sejak 1991 itu akan meneruskan misi mereka dengan kehadiran beberapa barisan penaja seperti Genting, Ho Hup Construction, Corporate Information Travel dan Quest International University Perak.

Dengan tambahan dana daripada penaja, Sport Excel kekal dengan pandangan bahawa program atlet muda perlu diutamakan ketika mereka berada dalam bayangan program elit kebangsaan.

Atas dasar itu, Pengerusi Sport Excel, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar, berpandangan bahawa syarikat serta badan korporat di Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam meneruskan kesinambungan masa depan sukan di Malaysia.

"Baru menjengah April tetapi kami sudah dapat membawa masuk empat penaja dan kami masih berusaha untuk menyuntik lebih banyak penajaan.

"Menjelang penhujung tahun ini, kami menyasarkan untuk mendapatkan 10 penaja.

"Penambahan enam penaja lagi pasti sesuatu yang hebat.

"Bagaimanapun, kami perlu berbelanja berdasarkan dana yang ada.

"Jadi dengan kehadiran lebih banyak lagi penaja, kami boleh melakukan lebih lagi," katanya.