Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bakal dinaik taraf dengan padang baharu menggantikan 'cow grass' yang sedia ada dengan rumput 'zeon zoysia' bermula hujung tahun ini dengan anggaran kos RM10 juta.

Isu padang sering menjadi topik hangat setiap kali selepas perlawanan melibatkan skuad kebangsaan khususnya.

Namun masalah ini dijangka selesai selepas pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertimbangkan untuk menaik taraf padang sedia ada.

Difahamkan ia akan menelan belanja hampir RM10 juta termasuk penggunaan mesin yang dikhaskan untuk rumput ini.

"Cadangannya adalah kami akan menukarkan kualiti rumput padang SNBJ kepada 'zeon zoysia' bagi menggantikan 'cow grass'," kata Ketua Eksekutif PSM, Nik Razeen Adam Daud menerusi Nadi Arena.

Pemilihan rumput 'zeon zoysia' sama seperti yang telah diguna pakai di Stadium Sultan Ibrahim, Stadium Nasional Singapura dan beberapa stadium di Thailand.

Pelan ini akan bermula penghujung tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan berikutnya.

"Kami sedang membuat perancangan dan memastikan perbelanjaan bagi menukar rumput padang ini kerana setiap aspek harus dipertingkatkan lagi untuk menyelenggarakan rumput baharu ini."