Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, mempamerkan aksi mantap untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka British 2019 di Hull, England, hari ini.

Nicol, yang merupakan juara lima kali Terbuka British, mengambil masa hanya 32 minit untuk menewaskan Ho Tze-Lok dari Hong Kong 11-7, 11-5, 13-11 dalam perlawanan pusingan pertama di University of Hull Sports and Fitness Centre.

Pemain berumur 35 tahun dari Pulau Pinang itu yang akan bersara selepas kejohanan berkenaan amat gembira dengan kejayaan hari ini.

“Saya gembira dapat turun ke gelanggang dengan Terbuka British ini menjadi kejohanan terakhir saya, ia memang amat istimewa sekali.

"Saya akan cuba sedaya-upaya untuk beraksi dengan baik, menjadikan ia sebagai kenangan yang tidak dapat dilupakan,” katanya seperti yang dipetik daripada laman sesawang kejohanan; www.britishopensquash.info.

Nicol, yang menempah pertemuan seterusnya dengan pemain nombor tiga dunia, Nour El Tayeb, berkata akan melakukan yang terbaik walaupun akur bahawa dia gagal menewaskan pemain dari Mesir itu dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

“Tiada apa yang nak dibimbangkan, jadi saya hanya akan turun gelanggang dan menikmati sepenuhnya permainan itu,” katanya.

Mengiringi Nicol ke pusingan kedua ialah bekas pemain nombor lima dunia, Low Wee Wern, yang menewaskan Fiona Moverley dari England 11-6, 11-3, 11-6.

Dalam kategori lelaki, kempen Malaysia tamat selepas dua pemain kebangsaan negara tewas dalam saingan masing-masing.

Bekas juara remaja dunia, Ng Eain Yow, tumpas 8-11, 10-12, 7-11 kepada Patrick Rooney dari England manakala Ivan Yuen gagal melepasi Greg Lobban dari Scotland 10-12, 9-11, 12-10, 4-11.

-- BERNAMA