Skuasy: Kehilangan bapa cekalkan hati Yiwen

Oleh Staff Writer 27 Januari 2020 111
Skuasy: Kehilangan bapa cekalkan hati Yiwen
Pemain skuasy wanita negara, Chan Yiwen, menjadikan memori mendiang bapanya yang meninggal dunia tahun lalu, sebagai penguat semangat bagi menghadapi 2020.

Yiwen masih terkenang satu panggilan mengejutkan ketika Sukan SEA Filipina bulan lalu.

Selepas mengharungi aksi final perseorangan wanita menentang pemain senior, Rachel Arnold, dia menerima berita mengenai pemergian bapanya, Chan Thean Poay.

Meskipun terkesan dengan kehilangan itu, terutama ketika sambutan Tahun Baru Cina ketika ini, dia akur perlu meneruskan kerjayanya demi menghargai pengorbanan bapanya.

"Bapa merupakan individu yang menggalakkan saya untuk bermain skuasy.

"Dia yang menghantar saya ke Kuala Lumpur.

"Dia mahu saya berjaya dalam skuasy.

"Jadi, saya perlu terus berusaha keras untuk berjaya dalam sukan ini

"Saya sudah memulakan latihan.

"2019 merupakan tahun yang sukar buat saya.

"Harap-harap tahun ini akan menjadi permulaan baru," katanya.

Bagi musim 2020, Yiwen melalui perubahan dalam sesi latihannya apabila diletakkan di bawah seliaan Ajaz Azmat.

Sebelum ini, dia merupakan anak didik Andrew Cross, yang terkenal dalam membentuk bakat daripada kem remaja negara.

"Saya mahu memperbaiki ranking kerana baru menamatkan pengajian.

"Buat masa ini, saya hanya fokus kepada kejohanan.

"Harap-harap ranking saya dapat meningkat sebanyak mungkin.

"Saya gembira apabila diberikan peluang untuk membuktikan keupayaan.

"Tetapi ia memerlukan masa kerana terdapat proses peralihan daripada jurulatih yang berbeza," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen