Terlalu inginkan kemenangan memberi tekanan kepada pemain skuasy negara, Mohammad Syafiq Kamal, yang terpaksa bergelut dalam set penentuan sebelum menang 3-2 ke atas Addeen Idrakie dalam suku akhir Kejohanan Skuasy Kebangsaan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Syafiq sedar perlawanan itu adalah penentuan untuk melayakkan diri ke Sukan Asia, bulan depan, sekiranya mara ke separuh akhir.

Justeru, tekanan makin menguasai dirinya untuk memenangi perlawanan selepas mendahului 11-8, 11-1 apabila Addeen mula mengimbangi kedudukan dengan 11-5, 11-6 dalam set ketiga dan keempat yang akhirnya mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pemain berusia 22 tahun itu kemudian lebih tenang dalam mengatur langkah apabila mereka saling mengejar mata sehingga kemenangan tipis 11-9 memihak kepada Syafiq.

"Addeen melakukan dengan baik, terutama dalam dua set pertama, tetapi set ketiga meletakkan saya dalam tekanan dan saya tidak sedar dia juga menukar taktik," kata Syafiq.

Aksi separuh akhir esok pastinya lebih sukar untuk pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu apabila bakal berdepan pemain pilihan utama, Nafiizwan Adnan.

Dan pertembungan itu seperti mengulangi aksi edisi lalu selepas Syafiq gagal ke final ekoran tewas di tangan lawan yang sama.

"Saya akan kekal dalam permainan panjang menentang Nafiizwan dan membuatkannya sukar dengan pukulan pendek saya.

"Saya penat hari ini dan diharapkan saya pulih untuk perlawanan esok. Jika saya penat, saya akan bermain pukulan pendek dan tidak akan membuatkan kesilapan mudah, " katanya lagi.