Pemain remaja negara, Aifa Azman, bertekad untuk mengejutkan bekas pemain nombor lima dunia, Low Wee Wern, dalam aksi separuh akhir Kejohanan Skuasy Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, esok.

Pemain kelahiran Kedah berusia 16 tahun itu, yang mara ke peringkat empat terbaik divisyen wanita selepas mencatat kemenangan mudah ke atas Nazihah Hanis Abd Razak 11-5, 12-10, 11-7 dalam saingan suku akhir hari ini, yakin prestasinya yang kini berada di tahap terbaik akan membantunya disenaraikan buat kali pertama dalam Sukan Asia di Indonesia, bulan depan.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2014, Wee Wern, yang baru kembali menyertai kejohanan kompetitif selepas 20 bulan berehat berikutan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) (lutut), dilihat masih tercari-cari rentak permainannya dan Aifa berharap dapat mengatasi pemain berkenaan.

Wee Wern yang merupakan pilihan kedua terpaksa berhempas-pulas sebelum menyingkirkan pemain berusia 17 tahun, Ooi Kah Yan,11-4, 11-9, 10-12, 9-11, 11-6 dalam satu lagi aksi suku akhir, hari ini.

“Ketika Wee Wern masih belum menemui rentak permainannya, saya berasakan saya mempunyai peluang yang baik. Saya berharap dapat melakukan terbaik, dan sudah tentu saya mahu menewaskan Wee Wern kerana kejohanan ini juga medan pemilihan ke Sukan Asia.

“Selepas membuat kemunculan sulung dalam Sukan Komanwel pada April lalu, saya juga berharap dapat beraksi buat kali pertama dalam Sukan Asia tahun ini,” kata Aifa selepas perlawanan berkenaan.

Setelah ratu skuasy negara Datuk Nicol David, mengesahkan tempat dalam skuad negara ke Sukan Asia 2018, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dijangka memilih juara dan tiga pemain terbaik dalam kejohanan kebangsaan itu bagi mengisi baki satu slot acara individu dan tiga untuk berpasukan.

Pemain pilihan bersama ketiga-keempat, Rachel Arnold, juga berharap dapat melakukan kejutan apabila berdepan pemain pilihan utama dan pemain nombor dua negara, S. Sivangari, dalam satu lagi saingan separuh akhir, esok.

“Saya bermula agak perlahan dalam perlawanan hari ini. Saya terlalu yakin selepas memenangi set pertama sedangkan dia (Lai Wen Li) semakin menunjukkan aksi yang baik, namun saya berjaya kembali mendapat rentak permainan untuk memenangi set keempat dan kelima.

“Sudah lama saya tidak bertemu Sivasangari (sejak Sukan SEA 2017), tetapi kami bersama-sama menjalani latihan. Jadi, saya jangka pertemuan pastinya sengit,” kata pemain berusia 22 tahun, Rachel.

Rachel diheret beraksi lima set sebelum menumpaskan Wen Li 11-6, 8-11, 8-11, 11-8, 11-4, manakala Sivasangari, 19, juga terpaksa mengerah kudrat untuk mengatasi pemain remaja, Chan Yiwen, 11-4, 10-12, 11-8, 7-11, 11-4.

Sementara itu, dalam saingan kategori lelaki, juara bertahan, Ivan Yuen Chee Wern, mudah menumpaskan Sanjay Singh Chal 11-8, 11-2, 11-5 untuk bertemu pemain nombor dua negara dan pilihan kedua, Ng Eain Yow, dalam separuh akhir.

Eain Yow mengalahkan Muhd Hafiz Zhafri 11-5, 12-10, 11-5.

Seperti dijangka, pemain nombor satu negara, Mohd Nafiizwan Adnan, turut menempah tempat ke separuh akhir selepas menewaskan Muhammad Asyraf Azan 13-11, 11-6, 11-6, untuk berdepan Muhammad Syafiq Kamal, yang menumpaskan Addeen Idrakie 11-8, 11-1, 5-11, 6-11, 11-9 dalam aksi suku akhir.

-- BERNAMA