Ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David, dan ratu boling tenpin, Shalin Zulkifli, antara yang berdepan risiko digugurkan daripada Program Podium selepas ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali, menegaskan keutamaan bagi Program Podium akan diberikan terhadap atlet yang terbabit dengan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Skuasy dan boling tenpin bukan acara dalam Sukan Olimpik.

Terlalu banyak sukan dalam Program Podium menjadikan tumpuan tidak dapat diberikan sepenuhnya terhadap misi meraih pingat emas sulung Olimpik Tokyo.

Itu antara perbincangan post-mortem Program Podium bagi penambahbaikan program sukan termahal negara itu.

Ketika ini, Program Podium dibarisi 148 atlet yang mewakili 23 jenis sukan.

Namun, 11 daripadanya tidak terbabit dengan misi memburu emas sulung Sukan Olimpik Tokyo.

"Apa yang dilalui hari ini adalah penanda aras buat sasaran kontinjen negara bagi mencapai sasaran utama, iaitu emas pertama Sukan Olimpik," kata Lokman.

"Melihat kepada penelitian yang dilakukan hari ini, kami telah mengenal pasti sukan serta atlet yang perlu diberikan perhatian."

Kebajikan atlet yang tidak terbabit dengan Program Podium sedang dikaji.

KBS akan memastikan nasib mereka terbela, apatah lagi menjelang Sukan SEA 2019, Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2022 selain Kejohanan Dunia masing-masing.

"Kami memiliki program Kita Juara yang memberikan sokongan kepada atlet. Tetapi sasaran yang diletakkan kepada Program Podium adalah Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami akan menggunakan sumber yang diletakkan dalam program ini untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan," tambahnya.

Sementara itu, pegawai persatuan sukan kebangsaan memberikan reaksi berbeza mengenai cadangan menurunkan pangkat acara yang tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk memberikan tumpuan penuh terhadap misi mencapai emas sulung temasya berkenaan.

Langkah itu dilihat akan memudahkan tugas dan pelaksanaan Program Podium kerana tidak perlu menjaga jumlah atlet yang terlalu ramai.

Malah, atlet yang terbabit dengan acara Olimpik Tokyo akan mendapat tumpuan dan dana lebih baik, sekali gus meningkatkan peluang meraih emas.

Namun, bagaimana penerimaan sukan yang bakal diketepikan?

"Sukan yang di luar saingan Olimpik akan terus memberikan impak sebelum ia diserapkan sebagai acara bertaraf Olimpik pada masa akan datang," kata jurulatih boling tenpin negara, Holloway Cheah.

"NSA akan terus bekerjasama dengan MSN serta Program Podium bagi mencapai sasaran yang ditetapkan," kata Setiausaha Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Vincent Chen.

"Kami perlu memberikan tumpuan kepada acara yang dipertandingkan dalam temasya Tokyo 2020, seiring dengan sasaran Program Podium," kata jurulatih pelayaran negara, Mohd Afendy Abdullah.