Skuad wushu negara menjadikan Jepun sebagai salah satu lokasi latihan buat mereka sebagai persiapan untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Shanghai, China Oktober depan serta Sukan SEA Filipina 2019, sebulan kemudian.

Walaupun hanya dua tugasan utama jadi tumpuan tahun ini, jurulatih wushu negara, Lim Yew Fai, menjelaskan program latihan mereka tetap diperincikan ke tahap tertinggi.

Selain kem latihan di China, mereka kini dapat berlatih di Jepun selepas menerima undangan daripada negara matahari terbit itu.

Selepas kecewa dalam Sukan Asia Indonesia Ogos tahun lalu, skuad negara menamatkan 2018 dengan kejayaan dalam Piala Dunia Taolu, Myanmar hasil kutipan lima emas dengan Wong Wen Son serta Phoon Eyin masing-masing meraih dua emas.

"Tahun ini kami akan ke China dan Jepun untuk latihan kerana 2019 menyaksikan tidak banyak pertandingan, cuma ada Kejohanan Dunia dan Kejohanan Wushu Junior di Brunei. Jadi, segalanya tiada masalah dan diharapkan semua perancangan berjalan lancar seperti tahun lalu," kata Yew Fai.

Di sebalik persaraan dua atlet senior, Loh Jack Chang dan Diana Bong, ia tidak menjejaskan kekuatan skuad wushu negara dengan barisan atlet sedia ada mempunyai kemampuan tersendiri.

Antara yang mendapat pujian Yew Fai sudah pasti Tan Cheong Min serta atlet pelapis, Sydney Chin, yang mampu digilap untuk meneruskan kecemerlangan di peringkat senior.

"Chong Min agak kuat kerana dalam dua tahun terakhir ketika Kejohanan Dunia serta Piala Dunia, dia meraih pingat perak dan gangsa untuk kategori individu. Sydney pula adalah atlet yang bagus dan sentiasa berusaha keras ketika latihan. Saya harap dia akan lebih menyinar di masa akan datang," tambah Yew Fai.