Skuad terjun negara akan menerima jurulatih baru, Li Rui, untuk menggantikan Zhang Yukun yang meletak jawatan bulan lalu.

Li Rui, 41, juga dari China, melatih skuad pelapis Kanada sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, skuad elit negara masih menantikan kehadiran Li Rui yang kini masih dalam tempoh untuk menamatkan notis peletakan jawatannya di Kanada.

Buat sementara waktu, Christian Brooker dan Li Teng selaku jurulatih pelapis mengambil alih peranan utama di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Li Rui dijangka tiba di Malaysia sekitar hujung bulan ini, iaitu sebaik berakhirnya mesyuarat jawatankuasa kerja di antara Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Majlis Sukan Negara (MSN), Rabu depan.